Pesanan Pihak Penaja {♥}

Welcome {♥}

Saturday, September 10, 2011

Assalamualaikum wbt.

Aku masih ingat, ketika masih di Sekolah Menengah Bachok, aku pernah memaklumkan kepada sahabat-sahabatku bahawa dalam dunia ini, aku mempunyai 3 aset utama yang paling aku hargai. AKK. Agama, keluarga dan kawan. Dan aku betul-betul maksudkannya. Satu kenyataan yang aku buat, mungkin juga melambangkan ‘dunia sekelilingku’ ketika itu. Sebelum aku berpindah ke MRSM Beseri, satu fasa baru di mana aku mula melangkah ke ‘dunia luar’.

AKK- Agama, keluarga dan kawan. Pernah seorang bertanya, adakah tiada tempat untuk ‘kekasih’ sebagai aset utamaku. Sangkaannya salah satu daripada K itu adalah kekasih. Haha, mungkin soalan itu merupakah salah satu daripada ‘percubaannya’. Dan jawapanku, kawan lebih mendahului.

Agama, sesuatu yang insyaAllah akan kekal bersama kita, selagi mana Allah meletakkan iman di dalam hati. Keluarga, tiada apa yang dapat memisahkan melainkan kematian, itupun hanya sementara, di Syurga Firdaus kelak pasti akan bersua semula. Kawan, asetku yang paling fragile. Selalu bertukar-tukar, samada kita yang meninggalkan, atau kita yang ditinggalkan. Sesuatu aset yang akan dimiliki di setiap tempat baru yang kita jejaki. Aset yang tidak mempunyai hak milikan yang jelas, melainkan nilai persahabatan yang ikhlas. Dan aset yang bukan diwarisi, namun ianya bermula apabila kita mula memberi dan menerima kepercayaan daripada mereka.


Sebenarnya, aku mula menambah K yang ketiga iaitu kawan ketika aku di peringkat menengah rendah di Bachok. Alhamdulillah, keputusanku tepat sekali. Sebelum meninggalkan sekolah yang usang itu, aku mengukuhkan ikatan persahabatan dengan rakan seperjuangan, terutamanya rakan sekelasku sendiri kerana fikirku, ianya satu long-term investment yang berbaloi. Dan siapa sangka, selepas 8 tahun berpindah sekolah, kami masih kawan. Kawan dengan erti aset utama yang aku miliki.


Kawan bagaimana?
Kawan yang boleh berkongsi cerita mahupun cita-cita . Cerita-cerita yang samada terjadi di masa kami masih bersama di sekolah usang itu, mahupun berlaku di kehidupan masing-masing selepas keluar daripada sekolah itu. Diulang-ulang sehingga membuatkan kehidupan kami di sekolah penuh kenangan itu baru semalam terjadi. Kawan yang menjadi sumber kekuatan. Kerana semenjak kami mengenal apakah erti sebuah impian, di situlah kami mula membina cita-cita, bersama-sama. Bagiku, selain ahli keluarga, merekalah yang mengetahui mengapa dan bagaimana aku boleh membina cita-cita ini dan merekalah yang bakal aku rujuk di kala semangat mengendur. Malah, mengingati mereka sahaja sudah cukup untuk mengembalikan aku ke masa lampau, betapa ‘kuat’nya aku ketika melafazkan cita-cita ini. Kawan yang sudi untuk berjumpa. Setiap kali ada kesempatan, paling kurang sekali dalam setahun, mesti akan berkumpul kembali semua. Kawan yang boleh dipercayai dan bergantung harap. Kerana aku tahu, merekalah yang mengenali dan tinggal berhampiran dengan keluargaku di kampung, semestinya akan sudi menolong keluargaku sekiranya terjadi sebarang kekurangan, sementara aku masih di tempat orang. Kawan yang bertolak ansur. Tidak terlalu berkita dengan duit, masa, mahupun ‘kepelikan-kepelikan’ yang wujud dalam diri masing-masing.Hehe. Ianya diterima dengan penuh penghormatan.


Usaha?
Aku percaya, mengekalkan persahabatan ini dalam masa 8 tahun selepas berpisah bukanlah sesuatu yang mudah. Aku sendiri banyak berusaha, dan aku yakin mereka juga berusaha. Dalam perbedaan kalender pengajian, jarak yang memisahkan, urusan kehidupan yang menghimpit, impian yang ingin dikejar, dan kehadiran orang baru dalam hidup masing-masing… menjaga persahabatan lama bukanlah sesuatu yang boleh berlaku begitu sahaja. Dan aku bersyukur, berkat usaha kita bersama, kita masih menikmati nilai persahabatan ini.



Berubah?
Aku sendiri banyak berubah, dek persekitaran di setiap tempat yang dipijak. Dan aku juga yakin mereka juga mengalami perubahan. Samada dari segi perangai, percakapan, penampilan, batas pergaulan, pemakaian, kematangan dan pemikiran. Dan aku yakin, walaupun masing-masing tidak menyatakan secara terbuka, kami sebenarnya mencuba sedaya-upaya untuk mencari satu titik persamaan agar perubahan-perubahan ini tidak akan menjejaskan persahabatan ini. Aku berpegang kepada prinsip, memelihara keamanan adalah lebih utama selagi ianya tidak membawa kepada hokum haram.


Respect?
Kami mempunyai bidang-bidang berbeza yang diceburi. Keguruan, perakaunan, ekonomi, bisnes, kegigian, teknologi makmal, pegawai kesihatan, kejuruteraan, farmasi, perubatan dan sebagainya. Samada peringkat diploma, ijazah mahupun master. Dan aku bersyukur kerana sepanjang perkenalan kita, kita saling menghormati antara satu sama lain. Bagiku, inilah salah satu kunci utama kita mampu mengekalkan keakraban kita. Dan aku yakin, setiap daripada kita mengharapkan kejayaan bersama, kepada diri sendiri dan juga kawan-kawan.


Cikgu?
Aku percaya, sokongan dan ingatan daripada cikgu-cikgu memberi lebih motivasi kepada kita untuk mengekalkan persahabatan ini. Ustazah Naemah, Ustazah Zainab, Cikgu Romlah, Cikgu Nooraini, Cikgu Zakaria, Cikgu Ilyas, Cikgu Azhar Dun, Teacher Fatimah, Teacher Suhaibah, Cikgu Mat Osman, Cikgu Saloma (hehe), dan cikgu-cikgu lain. Bagiku, dua hadiah yang mampu kita persembahkan kepada cikgu-cikgu kita ialah kejayaan dalam cita-cita, dan persahabatan yang kita bina di depan mata mereka sendiri. Sama-sama kita doakan agar semua cikgu di Sekolah Bachok dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus menjadi warga pendidik kepada generasi adik-adik kita.



Masa depan?
Cutiku pada kali ini melambangkan satu permulaan penting dalam persahabatan kita. Boleh dikatakan hampir 80% daripada kita telah menamatkan pengajian masing-masing. Dan aku meramalkan dalam setahun yang akan datang, kawan yang sudah tamat belajar akan memiliki kerjaya tetap, mendirikan rumah tangga, dan pelbagai komitmen yang baru. Aku, selaku kawan yang bakal menjadi orang terakhir menghabiskan degree antara kita… semestinya bersyukur dengan kejayaan kalian semua. Aku memahami ‘kesibukan’ yang menanti masa depan kita. Harapanku, sama-sama kita mengekalkan persabahatan ini, samada dengan cara lama, ataupun cara-cara baru yang seadanya, yang mampu dipenuhi oleh kawan kita semua. Paling kurang, kita teruskan amalan untuk mendoakan antara satu sama lain.



Akhir kata, terima kasih kepada semua atas sokongan, kepercayaan, kenangan, teguran, pengorbanan, dan bantuan-bantuan lain sepanjang persahabatan ini. Semoga setiap daripadanya akan memberatkan saham pahala akhirat kita. Dan semoga keberkatan, pertolongan, kasih sayang dan redha Allah sentiasa mengiringi langkah kita walau ke mana sahaja kita berada.

Dedikasi buat yang teristimewa [klik]


Yang benar,
E'e

1 Comment:

  1. norfadila2010 said...
    lama sungguh blog ni sunyi sepi.. ;)

Post a Comment